Uruskan wasiat, Elakkan waris berkonflik hanya kerana harta
KONFLIK mengendali dan menguruskan harta pusaka dalam keluarga Muslim boleh dielakkan jika mengikut ketetapan dan saranan dalam agama.
Konflik tercetus akibat tidak merancang dan memikirkan apa yang berlaku pada masa akan datang, termasuk membabitkan kematian sehingga mencetuskan pelbagai permasalahan keluarga.
Malah, perpecahan dan perbalahan berlaku sehingga ada yang membawa kepada perkara buruk. Banyak kes amat menyedihkan berlaku antaranya ibu bapa yang masih hidup, tetapi hilang rumah kerana hak miliknya dipindahkan kepada anak.
Ia dilakukan atas dasar mengasihi anak dan tidak mahu mereka hidup susah, tetapi ada yang mengambil kesempatan terhadap niat baik ibu bapa dan akibat hasutan pihak ketiga.
Ada juga kes isteri dipaksa oleh keluarga mentua keluar dari rumah yang dibeli hasil harta sepencarian selepas suami meninggal. Ini antara senario yang sering terjadi kerana kurang celik pengurusan harta pusaka yang selari dengan anjuran syarak.
Kebanyakan masalah harta pusaka berpunca daripada perebutan dan kelemahan mengenal pasti siapa pewaris berpotensi untuk melakukan tuntutan.
Kepentingan berwasiat bukanlah untuk pembahagian harta semata-mata. Asas pembahagian telah ditetapkan oleh syarak dalam surah An-Nisa’ ayat 5 hingga 12. Berwasiat adalah untuk menjaga hak dan kepentingan demi keadilan ke atas mereka yang tidak diberikan hak.
Berwasiat juga bertujuan untuk melantik seorang pemegang amanah yang akan mentadbir harta pusaka yang ditinggalkan secara sempurna dan bijaksana. Kita semua mahu peninggalan kita di dunia ini diiringi rahmat dan doa dari semua pihak.
Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nisa’ ayat 13:
“(Hukum-hukum tersebut) itu adalah ketentuan-ketentuan dari Allah. Barangsiapa taat kepada Allah & RasulNya, nescaya Allah memasukkanya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan yang besar”
Wasiat juga memberi keadilan dalam pembahagian harta kepada anak-anak yang disembunyikan statusnya kerana perkahwinan kedua atau ketiga yang tidak disenangi keluarga utama.
Wasiat mungkin hebahan terhadap harta si pewasiat yang tidak diketahui oleh ahli waris secara menyeluruh atau secara ditil satu persatu. Pewasiat semasa hidupnya menyembunyikan harta atau kepentingan berkenaan dengan sebab-sebab yang tertentu.
HUKUM BERWASIAT
Berdasarkan hadits dari Rasulullah s.a.w., hukumnya sunat;
“Barang siapa yang mati dalam keadaan berwasiat maka dia telah mati di atas jalan Allah dan Sunnah, mati dalam keadaan bertaqwa dan syahid dalam keadaan diampuni dosanya”
Wasiat itu wajib dalam keadaan di mana manusia mempunyai kewajipan syarak yang dikhuatiri akan disia-siakan. Umpamanya hutang kepada Allah dan manusia, misalnya kewajipan zakat atau haji yang belum ditunaikan atau mempunyai amanah yang harus disampaikan atau mempunyai hutang yang tidak diketahui oleh orang lain yang wajib ditunaikan atau mempunyai tanggungjawab atau kontrak yang tidak dipersaksikan.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah’ ayat 180:
“Diwajibkan keatas kamu, apabila seorang diantara kamu kelihatan tanda-tanda hampir mati, jika dia mennggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibubapa dan saudara maranya dengan cara yang baik. Ini adalah kewajipan ke atas orang-orang yang bertaqwa”
Leave a comment